Jumaat, Februari 26, 2010

'Kami Berkarya Untuk Gembira'



Penceramah : Norazmi (Baju Merah) dan Sinaganaga (Berkumis nipis)

Semalam bertempat di ASWARA, dalam Wacana Industri Grafik 1 : Wacana bersama Pereka Bentuk Grafik Cereka iaitu Sinaganaga dan Nurazmi.

Apa yang menarik?

Mereka memberi ceramah yang segar, kelakar, menyeronokan dan persembahan slide yang menyegarkan mata. Mereka memang penceramah yang bagus dapat mengambil perhatian pendengar.

Apa yang saya dapat?

Pengetahuan mengenai novel grafik daripada Norazmi. Bagaimana grafik kepada novel memberi tarikan yang karya. Novel grafik satu karya yang menitikberatkan ilustrasi bagi penyampaian naratif yang lengkap, Novel grafik bertapak di industri penulisan dengan novel grafik awal 'Mat Som' karya Dato' Lat. Kemudian timbul nama-nama kartunis tersohor antaranya Zainal Buang Huessin, Jaafar Taib dan Malungun dengan 'Novel Grafik Bayan'. Rejabhad dengan 'Selendang Siti Rugayah', 'Tan Tin Tun' dan lain-lain lagi. Genre ini kemudiannya menguncup dan Nurazmi menghidupkan semula genre ini dengan menerbitkan 'Mambo di Kuale' diikuti dengan 'Kasih Awang : Hikayat Cinta Purbakala', siri 'Mambo' dan beberapa karya lagi.

Norazmi seorang penulis yang mengabungkan lukisan dalam karyanya. Bagi saya sesuatu yang amat menarik dan mengagumkan kerana tidak semua orang memiliki kebolehan ini. Saya sendiri teringin membaca buku karya beliau dan menikmati bagaimana sebuah novel yang dihisai lakaran-lakaran menarik.

Bersama Sinaganaga pula telah membawa satu Slogan 'Kami Berkarya Untuk Gembira'. Sinaganaga merupakan seorang Pereka Bentuk Bahagian Kreatif dan Multimedia Dawama. Berpengalaman luas dalam bidang ini dan dengan ikhlas menceritakan pahit maung tugas beliau yang terpaksa berhadapan dengan editor dan penulisan dalam melaksanakan tugas. Beliau juga menekankan bahawa penampilan kulit buku sangat penting bagi melariskan jualan buku. Baginya rekabentuk kulit buku akan mendorong pembeli buku sebelum membaca isi kandungannya. Bagi seorang pereka bentuk grafik, buku yang cantik adalah buku yang berfungsi iaitu buku yang menerapkan prinsip rekaaan ke dalam reka bentuknya secara komprehensif.

Selain daripada itu, beliau juga menekankan bahawa tajuk karya yang menghiasi kulit buku hendaklah sesuatu yang menarik dan tidak klise. Sebagai contoh tajuk 'Naratif Ogonshoto', 'Serengenge' dan 'Enda Gulingku' merupakan tajuk yang menarik dan menarik minat pembeli untuk mengetahui lebih lanjut. Penulis muda juga sewajarnya perlu diabadikan wajah mereka di kulit buku sebagai cara memperkenalkan dan mempromosikan diri.

Sinaganaga bersama teman sepejuangannya telah menubuhkan penerbitan indie sendiri dan menerbitkan novel-novel yang boleh dibeli secara online. Tajuk-tajuk novel yang diterbitkan juga sangat segar dan jauh dari pendengaran misalnya 'Siapa Kekah Bidan Sepiah', 'Perempuan Simpanan', 'You Want A Gum, Sol-Jah?' dan banyak lagi. Saya pun teringin memilik novel-novel mereka dan menikmati penulisannya.

'Kami Berkarya Untuk Gembira'

Ayat ini rasanya kalau saya tafsirkan membawa maksud 'Suka hati akulah nak tulis apa, bagaimana dan pasal apa? Yang penting apa aku tulis mengembirakan aku dan pembaca.' Entah mengapa tiba-tiba saya berasa ayat itu membawa satu konotasi yang perlu diselami. Membaca tajuk dan rekabentuk kulit novel saja saya naik seram dan berteka-teki apa kisah disebalik 'cover dan Tajuk' itu. Adakah sesuatu yang K _J_I atau L_C_H? Atau sekadar perangkap kepada emosi pembaca dan pembeli. Maka untuk menyelami perkara ini, saya rasa bertanggungjawab membeli buku terbitan mereka dan memahami pemikiran yang hendak mereka sampaikan.

Apa yang menyentuh perasaan saya?

Norazmi tanpa segan silu memperkenalkan isterinya dan memperlihatkan penghargaan kepada isterinya dengan penuh ikhlas., begitu juga dalam blognya tetap memuji isterinya. Tahniah kepada isterinya Ida Sri. Norazmi memang seorang suami yang romantik...semoga rumahtangga mereka terus bahagia berkekalan bersama puteri mereka.

Kesimpulan:

'Kami Berkarya Untuk Gembira' dan saya pula mahu 'Berkarya Dengan Gembira' kerana 'Gembira' akan menzahirkan karya yang ikhlas dan memuaskan hati.




Khamis, Februari 25, 2010

Aduhai ibu dan ayah anak ini....


Saya sempat meribanya, kulitnya putih merah, berhidung mancung dan cantik pada pandangan mata saya. Sesekali dia tersenyum dalam lenanya, sungguh manis. Tetapi itu kisah setahun lalu, bayi comel ini telah diberikan kepada orang lain dengan ganti ribuan ringgit, beberapa hari selepas saya meribanya. Begitulah nasibnya menjadi anak kepada PATI. Di mana dan bagaimana nasib bayi ini tidak saya ketahui, hanya sekali itu saya meribanya. Semoga nasib bayi ini lebih terbela di tangan ibu dan ayah barunya. Semoga dia akan membesar sebagai anak yang solehah dan memberi kebahagian kepada orang tuanya dan semoga ibu ayah barunya dapat memberikan didikan dan kehidupan yang sempurna kepadanya tanpa diskriminasi kasih sayang. Insya Allah...

Wajah Suci



Wajah-wajah suci anak kecil-mereka anak-anak tanpa dokumen sah. Tetapi siapalah mereka untuk memahami tentang itu. Bagi mereka dunia mereka hanya ibu dan ayah. Anak kecil berbaju biru itu, ibunya telah dipenjarakan hanya ada ayah untuk mengharap kasih.


Beberapa hari lalu, abang Izat bertemu seseorang yang mahu memberikan seorang bayi lelaki. Bayi lelaki? Memang teringin tetapi dengan dua anak perempuan kami tetap mensyukurinya. Mengambil anak angkat merupakan satu perbuatan yang sangat mulia namun banyak juga perkara perlu diambil kira. Soal muhram, soal penjagan, soal keikhlasan dan seribu satu macam persoalan lagi. Bukan mudah, teringat pengorbanan pelakon Rebecca Nur Islam yang sanggup menjalani rawatan suntikan untuk menghasilkan susu badan demi menjaga hubungan halal dengan anak angkatnya seorang bayi lelaki. Kagum dengan pengorbanannya.

Rabu, Februari 24, 2010

Permata Hati


Inilah permataku Nur Zulaika dan Nur Farahani
Membesarkan anak-anak dalam dunia kesibukan memang mencabar, perbualan mengenai 'ibu-ibu' dengan seorang pensyarah menyebabkan kami menyimpulkan tugas seorang ibu memang besar dan memerlukan kesabaran. Lebih-lebih lagi bagi ibu yang berstatus pelajar, saya sendiri akui kadang kala rasa seperti terbenam dalam lumpur separas hidung, terkial-kial mencari ruang bernafas. Tetapi ranah itu juga yang memberikan saya keindahan yang tidak terungkap. Berbicara tentang anak-anak, akhir-akhir ini terlalu banyak kes pembuangan anak-anak. Pilu rasanya...Doaku semoga mereka yang tergamak itu, diberi hidayah dan peluang membetulkan kesilapan diri.


USIA DAN ILMU

Usia adalah satu pemberian Tuhan dan ilmu juga pemberian Tuhan, tidak kira bila, kenapa dan di mana. Mencari ilmu itu kewajipan setiap insan.

Bersyukur tidak terhingga kerana dalam usia begini masih berpeluang menuntut ilmu, terlalu banyak cabaran dan dugaan. Mujurlah ibu bapa, suami dan anak-anak menguatkan semangat. Tidak kurang juga ada kata-kata memperlekehkan ‘sudah tua baru mahu belajar’. Adakah ilmu mengenal tua? Pastilah tidak, Allah S.W.T telah menyusun perjalanan hidup saya dengan indah sekali dan saya amat mensyukurinya. Sudah lama saya berhajat mengabadikan kenangan bersama-sama insan-insan yang memberikan saya inspirasi dan kekuatan sepanjang bergelar pelajar. Insan-insan ini ada antaranya yang saya kenali begitu singkat tetapi kata-kata mereka memberikan saya ‘azimat’.

1. Mereka seperti alam ini sentiasa memberi kehidupan. Sememangnya saya bertuah ibu dengan bapa tidak pernah putus memberi dorongan sehingga sekarang. Mereka sering menguatkan semangat saya agar terus berusaha, sehingga sekarang sudah menjadi tradisi apabila keputusan peperiksaan keluar, saya akan memberitahu mereka. Alhamdulilah keputusan peperiksaan saya tidaklah mengecewakan bagi seorang pelajar yang bergelar isteri dan ibu. Terkenang pengorbanan ibu dan bapa semasa saya mahu menyambung pelajaran ke ASK pada tahun 1997. Mereka sangat gembira walaupun ketika itu sumber kewangan tidak terlalu mengizinkan memandangkan adik keempat masih belajar di Uitm Shah Alam. Tetapi emak dan bapa yang memahami minat dan keinginan anak-anaknya terus memberi dorongan. ‘Belajar kalau mahu belajar, soal belanja jangan fikir, bapa cari’. Kata-kata itu membuatkan saya terharu. Dan saat saya mengatakan saya akan menyambung pelajaran di Aswara, emak dengan bapa bertambah gembira. Pesan bapa dan emak ‘Jangan berhenti belajar dan jangan putus asa’. Hakikatnya ilmu tidak mengenal usia. Menuntut ilmu merupakan proses yang berpanjangan sehinggalah ke hembusan nafas yang terakhir.

2. Ohh…hanya kata-kata ini dapat saya luahkan tentang dirinya yang sangat istimewa. Ibaratnya ‘Saya menyandarkan tubuh ke dinding sebuah tembok yang beratap dan merenung bulan, bintang dan matahari yang silih berganti menghiasi langit. Sekian lama, tembok itu tidak pernah jemu menyokong tubuh saya yang terletak dengan selesa. Ketika panas, dia menyejukkan dan ketika sejuk dia memanaskan. Kemudian apabila hujan dia melindungi tubuh saya dengan atapnya. Dia sangat sabar dan penyayang, selagi dihargai dan disayangi, saya akan terus setia bersamanya ke akhir hayat.’ Sehingga saat ini, pengorbananya sangat besar dan saat saya ‘jatuh’ dia segera memberi semangat dan kekuatan. Terima kasih Allah kerana meminjamkan insan ini.

3.Mereka permata hati saya dan suami, ketika saya mengambil keputusan menyambung pelajaran si kakak baru masuk tadika dan si adik baru empat tahun. Mereka mengalami kejutan budaya ‘mahasitua’ ibunya. Dulu banyak masa bersama mereka, pergi berniaga pun saya heret mereka. Biar mereka belajar selok belok perniagaan tetapi dunia pelajaran saya menyebabkan mereka agak benggang kerana terpaksa berkongsi kasih sayang dengan komputer uminya, apa tidak kasih umi dah terbahagi kepada pelajaran pula. Sehingga mereka memprotes menyuruh berhenti belajar. Semakin diprotes semakin kuat semangat saya kerana pengorbanan ini untuk masa depan mereka juga. Tetapi kini mereka semakin memahami dan memberi galakan lebih-lebih lagi apa sahaja aktiviti di ASWARA saya heret mereka bersama termasuklah ayahnya. Rela dalam paksa!

4.En. Z – Sebenarnya keputusan menyambung pelajaran amat berat untuk diambil kerana sudah 8 tahun saya meninggalkan dunia pelajaran dan berkecimpung dalam duni perniagaan. ‘Otak karat’ saya memang menakutkan, sehingga saya melupakan dunia penulisan yang saya ‘cintai’ sebelum bergelar isteri dan ibu. Bayangkan saya hanya mampu hasilkan sebuah cerpen yang telah tersiar di Majalah Anis pada tahun 2007 dan beberapa buah puisi di akhbar tempatan. Dari hari ke hari terasa ‘ semakin ‘miskin’ bahasa dan ilmu, lebih-lebih lagi saya terus meninggalkan dunia ASK selepas perkahwinan dan tidak pernah ke ASK langsung. Mungkin memasuki ‘zon selesa’ rumahtangga menyebabkan rasa cinta beralih kepada suami dan anak-anak. Bukan pula mereka perampas ‘cinta’ kepada dunia penulisan tetapi cahaya kebahagian yang cerlang mengaburi kepada perkara lain. Atas dasar itulah saya berasa seperti ada kekurangan dalam hidup. Keinginan mendalami dunia penulisan kembali meluap-luap.

Semasa memasuki Akademi Seni Kebangsaan dulu pun saya sudah berusia 23 tahun, agak lewat juga. Ketika itu adik-adik lain lepasan SPM, terasa jauh bezanya. Lagipun sebelum itu, selepas STPM saya menerima tawaran menjadi guru sandaran di S.K Sapagaya Lahad Datu pada 1994 dan kemudiannya menyambung pelajaran secara PJJ di ITM Shah Alam dalam bidang pentadbiran awam. Hampir dua tahun belajar di Itm saya memasuki ASK. Tetapi itulah pengorbanan namanya kerana minat saya perlu korbankan pelajaran di ITM.

Dunia penulisan saya bermula sejak sekolah menengah dan selalu menghasilkan sajak-sajak untuk simpanan sendiri. Tingkatan enam saya menghantar sajak ke ke Radio Sabah dalan ruangan Sajak. Sangat menyeronokkan kerana bayaran RM 35.00, rasanya cukup lumayan. Minat itu berterusan sehingga menjadi guru sandaran. Sajak saya selalu tersiar dalam rancangan ‘Sajak untuk Perwira’. Masih ingat lagi, ibu selalu membantu saya merakam sajak yang dibaca oleh juruhebah dengan iringan lagu yang mendayu-dayu. Balik dari sekolah, kembanglah hidung saya mendengar sajak yang terkeluar. Setelah mengikuti bengkel En. Jasni Matlani di Kota Kinabalu (itu pun minta cuti kecemasan daripada Guru Besar) meluncurlah semangat ‘jet’ dalam penulisan saya. Banyaklah karya-karya cerpen dan puisi saya yang tersiar walau ada yang tanpa bayaran.

Semasa menjadi guru saya sering menggalakkan anak-anak murid saya di tahun empat, lima dan enam agar menulis. Waktu itu, anak-anak murid itu tidak faham langsung apa itu dunia penulisan sastera selain karangan yang dibuat di sekolah. Sebagai langkah pertama saya mengambil karangan-karang pelajar yang terbaik dan hantar ke akhbar. Karangan salah seorang murid saya tersiar, gembira saya bukan kepalang tetapi anak murid itu pula tercenggang-cenggang. Apabila saya memberi pujian, dia hanya tersenyum-senyum (tidak tahu pula apa maksud senyumannya itu). Itulah kenangan yang tidak dapat saya lupakan, sekurang-kurangnya saya telah membuka satu dunia baru kepada murid-murid saya, walaupun saya sendiri baru belajar merangkak dalam dunia penulisan sehingga kini.

Kembali kepada En. Z, saya terkenang semasa mula-mula temuduga di Sabah. En.Z bertanya mengatakan biasanya penulis wanita akan berhenti menulis apabila berkahwin, saya dengan yakin menjawab “Saya akan terus menulis.” Mujurlah saya tidak berhenti menulis walaupun hanya ada sebuah cerpen dan beberapa puisi dihasilkan selepas berkahwin. Sekurang-kurangnya saya tidak dimakan sumpah saya sendiri. Apabila ditemuduga di ASWARA, saya menunjukkan karya terbaru saya dengan segan kepada En.Z. E.n. Z bertanya tidakkah saya segan dengan adik-adik sekuliah. ‘Tidak! Sebab saya nak belajar.” saya yakin kerana saya sudah mengalami keadaan itu di ASK dahulu dan sekarang saya mengulangi lagi sejarah itu cuma dengan label baharu sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak perempuan. Saya menanam nekad dan tekad mengasah semula ‘otak karat’ ini. Terima kasih En.Z kerana memberi peluang ‘otak karat’ saya.

5. Rasanya rasa kagum saya terhadap insan ini tidak lengkap sekiranya saya tidak menyebut tentang dirinya. Melihat dirinya saya lebih kagum dan teransang untuk terus bersaing dengan adik-adik yang lebih muda. En.Asmar atau saya lebih gemar memanggil abang Asmar sudah berusia 50 tahun tetapi dengan semagat waja, beliau menyambung pelajaran dalam bidang filem. Memang ‘tabik spring’ dengan abang Asmar, bertuahlah isteri dan anak-anaknya. Terharu dengan pengorbanan mereka, bagi saya abang Asmar satu ikon yang perlu dicontohi.

6. Saya cukup terkesan denga kata-kata seorang kakak yang saya temui ketika mencari seorang pelakon kanak-kanak di sebuah sekolah rendah di Shah Alam, untuk filem pendek saya pada tahun 2008. Kak Nita namanya, pertemuan kami singkat sahaja tapi sangat bererti. Kebetulan kak Nita sedang berurusan di pejabat guru. Tugasnya sebagai Pengerusi PIBG memang mengagumkan saya kerana Kak Nita seorang perempuan, selalunya pengerusi PIBG dipegang oleh lelaki. Kak Nita melayan kami dengan mesra, apabila saya mengenalkan diri sebagai pelajar Aswara dan mengenalkan pula suami. Kak Nita sangat gembira dan mengucapkan syabas, dia memberikan kata-kata peransang agar saya terus berusaha dan buktikan kejayaan bagi ‘mahasitua’ sentiasa ada, kerana kak Nita juga baru menghabiskan pengajian ijazahnya di Open Universiti. Kata-kata Kak Nita membuat saya lebih kagum kerana kak Nita melebihi 40 tahun dan mempunyai 5 orang anak. Menurutnya lagi, dari seramai 26 pelajar sekuliahnya hanya empat orang yang berjaya melengkapkan ijazah yang lain menangguhkan kerana pelbagai masalah dan bujang pula. Terima kasih kak Nita kerana meminjamkan pengalamannya, saya selalu berharap dapat bertemu dengannya lagi.

7.Seperti ada kekurangan jika tidak menyebut mengenai kakak seorang ini. Saya juga mahu meminjam semangatnya. Semasa di ASK dia sudah berusia dalam 30an kemudian terus menyambung pelajaran lagi. Apa yang mengagumkan semasa di ASK dia boleh bersaing dengan adik-adik yang masih segar otaknya malah sangat komited terhadap pelajaran. Kak Wan, sesungguhnya Kak Wan banyak memberi saya inspirasi.

8. Seingat saya pertemuan dengan insan ini pada tahun 2009. Ketika itu Dato’ Anwar Ridhwan meminta saya dengan seorang sahabat menjadi anak murid atau lebih tepat menjadi modellah konon untuk photo shoot sebuah akhabar Bahasa Inggeris. Ketika itu dia bertugas menemuramah Dato’, wajahnya manis walaupun hitam manis. Kami mengenalkan diri masing-masing dan sahabat saya mengatakan mengenai saya yang sudah tua masih belajar. Tetapi insan itu menjawab ‘Tak apa, belajar tidak pernah mengenal tua...tidak kenal umur’. Kata-kata itu sangat terkesan di hati saya dan menguatkan lagi azam saya membuktikan ‘otak karat’ boleh digilap menjadi berkilat-kilat dan memancar-mancar.

9. Pun masih ada kekurangan jika tidak menyebut nama ini. ‘Ana Balqis’ pemilik nama yang indah. Masih teringat ketika menemaninya ke pasar pagi JKR. Ana balqis juga lewat menyambung pelajaran dalam usia 30an, tetapi terbukti kejayaanya sekarang bertugas sebagai pensyarah di UM. Ana Balqis menyebut ‘ Awak bertuah, memiliki dua perkara sekaligus. Mempunyai suami dan anak-anak dan pelajaran. Ada orang tidak mempunyai kedua-dua perkara itu. Awak bertuah.’ Benarkah? Kata-katanya membuat saya berfikir berjuta-juta kali. Pelajaran + keluarga = Kebahagian dan kejayaan. Itulah sebenarnya formula yang mesti saya pegang. Terima kasih Ana Balqis. Sehingga kini saya masih menyemat ayat-ayat itu di hati jangan sampai tertanggal.

10. Dia bekas pensyarah saya di ASK, lemah lembut dan penuh berhikmah kata-katanya. Dia membahasakan dirinya bonda. Walaupun sudah bertahun-tahun tidak mengajar tetapi bonda Rugayah masih mengingati saya. Sejak pertemuan itu, bonda selalu memberi nasihat yang bernas dan mengajak saya ke sana-sana dengan tujuan mendedahkan saya kepada dunia penulisan, teater dan kritikan. Beliau selalu mengalakkan saya terus menulis dan menonton teater untuk menajamkan pemerhatian sebagai seorang penulis. Dengan dorongan bonda juga, saya berjaya menghasilkan sebuah artikel yang disiarkan di majalah Pentas Istana Budaya pada tahun 2008. Bagi saya, bonda seorang penulis dan seorang pengkritik yang jujur dalam tulisannya. Terima kasih bonda Rugayah. Pinjamkan aku semangatmu!

11. Kakak seorang ni pun senarai terpenting dalam kotak kenangan saya, lapan tahun lalu saya berjiran dengan seorang kakak yang berusia dalam lingkungan 40 tahun. Anak lima orang dah besar-besar semuanya, ketika itu saya mengandung anak pertama Beberapa kali juga kami berbual, dari perbualan itulah saya mendapat tahu dia menyambung semula pelajaran di peringkat master. Sebelum itu dia tidak bekerja kerana membesarkan anak-anak. Saya sangat kagum dengan semangatnya, dalam diam-diam menanam semangat mencontohinya, sempat juga dia memberi nasihat agar saya menyambung pelajaran apabila anak sudah agak besar. Beberapa bulan kemudian kakak itu berpindah rumah, satu hari satu terserempak dengannya di pasar malam. Dengan gembira dia mengatakan dia telah diterima menjadi pensyarah di sebuah kolej. Saya pula yang gembira melebih-lebih ketika itu dan tidak henti-henti mengucapkan tahniah.

Begitulah, perjalanan hidup orang lain yang selalu saya jadikan motivasi untuk terus maju dalam pelajaran dan membina keluarga yang bahagia. Terima kasih kepada insan-insan yang telah memberi makna dalam hidup ini.

‘Mencipta sesuatu yang bermakna bukanlah mudah tetapi sesuatu yang bermakna mudah dilupakan’

Selasa, Februari 23, 2010

Jalan

Jalan ini tetap ada
tetap di sini dan di sana
Jalan tetap jalan
aku tetap teruskan perjalanan
jalan tetap jalan

Rabu, Disember 23, 2009

Gigit jari perut besar?

Pertanyaan Farahani semalam masih berbisik di telinga sehingga hari ini. Fara yang bakal memasuki usia 6 tahun dengan gaya manjanya bertanya, "Umi kalau gigit jari nanti perut besarkah?". Aku memandang wajahnya sambil cuba mengumpul fakta-fakta sains mengenai bakteria, biar alasan yang bakal diberi munasabah dan memuaskan hatinya. "Kenapa? Siapa yang gigit jari? Siapa yang perut besar?". "Tadikan adik dengan kakak ikut mama (panggilan untuk pengasuh) ke taman. Ada kawan mama yang masih sekolah di taman, kakak tu gigit jari tapi perutnya besar. Kenapa perutnya besar Umi? Kalau gigit jari perut jadi besarkah?" Aku merenung wajahnya yang manis. "Macam mana Fara tahu masih sekolah?". Aku mula menyoal. "Kakak tu dulu pakai baju sekolah macam kak Wa (anak saudara yang bersekolah menengah)". Menyirap darahku. Apakah yang dapat kita fikir sekiranya seorang anak remaja di peringkat sekolah menengah mengigit jari dan perutnya besar?" Secara jujur pastilah sesuatu yang negetif yang melompat ke kotak fikiranku. "Kenapa Umi kakak tu perutnya besar?". Hanya jawapan ini yang mampu saya berikan "Err..jari kita ni penuh kuman, kalau makan tak cuci tangan lepas tu suka gigit jari. Kuman masuk dalam perut, nanti tu perut jadi besarlah." Fara membesarkan matanya dan terbayang kengerian. "Ohh...adik selalu basuh tangan, tak mahu gigit jari. Takut perut adik besar."

'Oh Tuhan. mudah-mudahlah anak remaja itu perut besar kerana penyakit bukan kerana sangkaan negetifku.' Ngeri rasanya mengenangkan pertanyaan Fara.