Jumaat, Februari 26, 2010

'Kami Berkarya Untuk Gembira'



Penceramah : Norazmi (Baju Merah) dan Sinaganaga (Berkumis nipis)

Semalam bertempat di ASWARA, dalam Wacana Industri Grafik 1 : Wacana bersama Pereka Bentuk Grafik Cereka iaitu Sinaganaga dan Nurazmi.

Apa yang menarik?

Mereka memberi ceramah yang segar, kelakar, menyeronokan dan persembahan slide yang menyegarkan mata. Mereka memang penceramah yang bagus dapat mengambil perhatian pendengar.

Apa yang saya dapat?

Pengetahuan mengenai novel grafik daripada Norazmi. Bagaimana grafik kepada novel memberi tarikan yang karya. Novel grafik satu karya yang menitikberatkan ilustrasi bagi penyampaian naratif yang lengkap, Novel grafik bertapak di industri penulisan dengan novel grafik awal 'Mat Som' karya Dato' Lat. Kemudian timbul nama-nama kartunis tersohor antaranya Zainal Buang Huessin, Jaafar Taib dan Malungun dengan 'Novel Grafik Bayan'. Rejabhad dengan 'Selendang Siti Rugayah', 'Tan Tin Tun' dan lain-lain lagi. Genre ini kemudiannya menguncup dan Nurazmi menghidupkan semula genre ini dengan menerbitkan 'Mambo di Kuale' diikuti dengan 'Kasih Awang : Hikayat Cinta Purbakala', siri 'Mambo' dan beberapa karya lagi.

Norazmi seorang penulis yang mengabungkan lukisan dalam karyanya. Bagi saya sesuatu yang amat menarik dan mengagumkan kerana tidak semua orang memiliki kebolehan ini. Saya sendiri teringin membaca buku karya beliau dan menikmati bagaimana sebuah novel yang dihisai lakaran-lakaran menarik.

Bersama Sinaganaga pula telah membawa satu Slogan 'Kami Berkarya Untuk Gembira'. Sinaganaga merupakan seorang Pereka Bentuk Bahagian Kreatif dan Multimedia Dawama. Berpengalaman luas dalam bidang ini dan dengan ikhlas menceritakan pahit maung tugas beliau yang terpaksa berhadapan dengan editor dan penulisan dalam melaksanakan tugas. Beliau juga menekankan bahawa penampilan kulit buku sangat penting bagi melariskan jualan buku. Baginya rekabentuk kulit buku akan mendorong pembeli buku sebelum membaca isi kandungannya. Bagi seorang pereka bentuk grafik, buku yang cantik adalah buku yang berfungsi iaitu buku yang menerapkan prinsip rekaaan ke dalam reka bentuknya secara komprehensif.

Selain daripada itu, beliau juga menekankan bahawa tajuk karya yang menghiasi kulit buku hendaklah sesuatu yang menarik dan tidak klise. Sebagai contoh tajuk 'Naratif Ogonshoto', 'Serengenge' dan 'Enda Gulingku' merupakan tajuk yang menarik dan menarik minat pembeli untuk mengetahui lebih lanjut. Penulis muda juga sewajarnya perlu diabadikan wajah mereka di kulit buku sebagai cara memperkenalkan dan mempromosikan diri.

Sinaganaga bersama teman sepejuangannya telah menubuhkan penerbitan indie sendiri dan menerbitkan novel-novel yang boleh dibeli secara online. Tajuk-tajuk novel yang diterbitkan juga sangat segar dan jauh dari pendengaran misalnya 'Siapa Kekah Bidan Sepiah', 'Perempuan Simpanan', 'You Want A Gum, Sol-Jah?' dan banyak lagi. Saya pun teringin memilik novel-novel mereka dan menikmati penulisannya.

'Kami Berkarya Untuk Gembira'

Ayat ini rasanya kalau saya tafsirkan membawa maksud 'Suka hati akulah nak tulis apa, bagaimana dan pasal apa? Yang penting apa aku tulis mengembirakan aku dan pembaca.' Entah mengapa tiba-tiba saya berasa ayat itu membawa satu konotasi yang perlu diselami. Membaca tajuk dan rekabentuk kulit novel saja saya naik seram dan berteka-teki apa kisah disebalik 'cover dan Tajuk' itu. Adakah sesuatu yang K _J_I atau L_C_H? Atau sekadar perangkap kepada emosi pembaca dan pembeli. Maka untuk menyelami perkara ini, saya rasa bertanggungjawab membeli buku terbitan mereka dan memahami pemikiran yang hendak mereka sampaikan.

Apa yang menyentuh perasaan saya?

Norazmi tanpa segan silu memperkenalkan isterinya dan memperlihatkan penghargaan kepada isterinya dengan penuh ikhlas., begitu juga dalam blognya tetap memuji isterinya. Tahniah kepada isterinya Ida Sri. Norazmi memang seorang suami yang romantik...semoga rumahtangga mereka terus bahagia berkekalan bersama puteri mereka.

Kesimpulan:

'Kami Berkarya Untuk Gembira' dan saya pula mahu 'Berkarya Dengan Gembira' kerana 'Gembira' akan menzahirkan karya yang ikhlas dan memuaskan hati.




1 ulasan:

  1. salam sahabatku zia,

    pertama sekali bertemu kita di blog ini, seronok membaca coretan ko, walaupun akulah manusia yg telah terpinggir dr dunia seni dan tertinggal jauh di belakang tetapi cinta aku pada dunia penulisan kreatif ini tidak pernah padam..

    apa pun, selamat berjuang sahabatku' doa ini selalu teriring utk ko...

    biarlah aku hanya menjadi bayang2mu tetapi aku selalu bahgia dan bangga dgn kejayaan yg ada di tanganmu kini..

    sampai bertemu lagi...

    BalasPadam