Rabu, Februari 24, 2010

USIA DAN ILMU

Usia adalah satu pemberian Tuhan dan ilmu juga pemberian Tuhan, tidak kira bila, kenapa dan di mana. Mencari ilmu itu kewajipan setiap insan.

Bersyukur tidak terhingga kerana dalam usia begini masih berpeluang menuntut ilmu, terlalu banyak cabaran dan dugaan. Mujurlah ibu bapa, suami dan anak-anak menguatkan semangat. Tidak kurang juga ada kata-kata memperlekehkan ‘sudah tua baru mahu belajar’. Adakah ilmu mengenal tua? Pastilah tidak, Allah S.W.T telah menyusun perjalanan hidup saya dengan indah sekali dan saya amat mensyukurinya. Sudah lama saya berhajat mengabadikan kenangan bersama-sama insan-insan yang memberikan saya inspirasi dan kekuatan sepanjang bergelar pelajar. Insan-insan ini ada antaranya yang saya kenali begitu singkat tetapi kata-kata mereka memberikan saya ‘azimat’.

1. Mereka seperti alam ini sentiasa memberi kehidupan. Sememangnya saya bertuah ibu dengan bapa tidak pernah putus memberi dorongan sehingga sekarang. Mereka sering menguatkan semangat saya agar terus berusaha, sehingga sekarang sudah menjadi tradisi apabila keputusan peperiksaan keluar, saya akan memberitahu mereka. Alhamdulilah keputusan peperiksaan saya tidaklah mengecewakan bagi seorang pelajar yang bergelar isteri dan ibu. Terkenang pengorbanan ibu dan bapa semasa saya mahu menyambung pelajaran ke ASK pada tahun 1997. Mereka sangat gembira walaupun ketika itu sumber kewangan tidak terlalu mengizinkan memandangkan adik keempat masih belajar di Uitm Shah Alam. Tetapi emak dan bapa yang memahami minat dan keinginan anak-anaknya terus memberi dorongan. ‘Belajar kalau mahu belajar, soal belanja jangan fikir, bapa cari’. Kata-kata itu membuatkan saya terharu. Dan saat saya mengatakan saya akan menyambung pelajaran di Aswara, emak dengan bapa bertambah gembira. Pesan bapa dan emak ‘Jangan berhenti belajar dan jangan putus asa’. Hakikatnya ilmu tidak mengenal usia. Menuntut ilmu merupakan proses yang berpanjangan sehinggalah ke hembusan nafas yang terakhir.

2. Ohh…hanya kata-kata ini dapat saya luahkan tentang dirinya yang sangat istimewa. Ibaratnya ‘Saya menyandarkan tubuh ke dinding sebuah tembok yang beratap dan merenung bulan, bintang dan matahari yang silih berganti menghiasi langit. Sekian lama, tembok itu tidak pernah jemu menyokong tubuh saya yang terletak dengan selesa. Ketika panas, dia menyejukkan dan ketika sejuk dia memanaskan. Kemudian apabila hujan dia melindungi tubuh saya dengan atapnya. Dia sangat sabar dan penyayang, selagi dihargai dan disayangi, saya akan terus setia bersamanya ke akhir hayat.’ Sehingga saat ini, pengorbananya sangat besar dan saat saya ‘jatuh’ dia segera memberi semangat dan kekuatan. Terima kasih Allah kerana meminjamkan insan ini.

3.Mereka permata hati saya dan suami, ketika saya mengambil keputusan menyambung pelajaran si kakak baru masuk tadika dan si adik baru empat tahun. Mereka mengalami kejutan budaya ‘mahasitua’ ibunya. Dulu banyak masa bersama mereka, pergi berniaga pun saya heret mereka. Biar mereka belajar selok belok perniagaan tetapi dunia pelajaran saya menyebabkan mereka agak benggang kerana terpaksa berkongsi kasih sayang dengan komputer uminya, apa tidak kasih umi dah terbahagi kepada pelajaran pula. Sehingga mereka memprotes menyuruh berhenti belajar. Semakin diprotes semakin kuat semangat saya kerana pengorbanan ini untuk masa depan mereka juga. Tetapi kini mereka semakin memahami dan memberi galakan lebih-lebih lagi apa sahaja aktiviti di ASWARA saya heret mereka bersama termasuklah ayahnya. Rela dalam paksa!

4.En. Z – Sebenarnya keputusan menyambung pelajaran amat berat untuk diambil kerana sudah 8 tahun saya meninggalkan dunia pelajaran dan berkecimpung dalam duni perniagaan. ‘Otak karat’ saya memang menakutkan, sehingga saya melupakan dunia penulisan yang saya ‘cintai’ sebelum bergelar isteri dan ibu. Bayangkan saya hanya mampu hasilkan sebuah cerpen yang telah tersiar di Majalah Anis pada tahun 2007 dan beberapa buah puisi di akhbar tempatan. Dari hari ke hari terasa ‘ semakin ‘miskin’ bahasa dan ilmu, lebih-lebih lagi saya terus meninggalkan dunia ASK selepas perkahwinan dan tidak pernah ke ASK langsung. Mungkin memasuki ‘zon selesa’ rumahtangga menyebabkan rasa cinta beralih kepada suami dan anak-anak. Bukan pula mereka perampas ‘cinta’ kepada dunia penulisan tetapi cahaya kebahagian yang cerlang mengaburi kepada perkara lain. Atas dasar itulah saya berasa seperti ada kekurangan dalam hidup. Keinginan mendalami dunia penulisan kembali meluap-luap.

Semasa memasuki Akademi Seni Kebangsaan dulu pun saya sudah berusia 23 tahun, agak lewat juga. Ketika itu adik-adik lain lepasan SPM, terasa jauh bezanya. Lagipun sebelum itu, selepas STPM saya menerima tawaran menjadi guru sandaran di S.K Sapagaya Lahad Datu pada 1994 dan kemudiannya menyambung pelajaran secara PJJ di ITM Shah Alam dalam bidang pentadbiran awam. Hampir dua tahun belajar di Itm saya memasuki ASK. Tetapi itulah pengorbanan namanya kerana minat saya perlu korbankan pelajaran di ITM.

Dunia penulisan saya bermula sejak sekolah menengah dan selalu menghasilkan sajak-sajak untuk simpanan sendiri. Tingkatan enam saya menghantar sajak ke ke Radio Sabah dalan ruangan Sajak. Sangat menyeronokkan kerana bayaran RM 35.00, rasanya cukup lumayan. Minat itu berterusan sehingga menjadi guru sandaran. Sajak saya selalu tersiar dalam rancangan ‘Sajak untuk Perwira’. Masih ingat lagi, ibu selalu membantu saya merakam sajak yang dibaca oleh juruhebah dengan iringan lagu yang mendayu-dayu. Balik dari sekolah, kembanglah hidung saya mendengar sajak yang terkeluar. Setelah mengikuti bengkel En. Jasni Matlani di Kota Kinabalu (itu pun minta cuti kecemasan daripada Guru Besar) meluncurlah semangat ‘jet’ dalam penulisan saya. Banyaklah karya-karya cerpen dan puisi saya yang tersiar walau ada yang tanpa bayaran.

Semasa menjadi guru saya sering menggalakkan anak-anak murid saya di tahun empat, lima dan enam agar menulis. Waktu itu, anak-anak murid itu tidak faham langsung apa itu dunia penulisan sastera selain karangan yang dibuat di sekolah. Sebagai langkah pertama saya mengambil karangan-karang pelajar yang terbaik dan hantar ke akhbar. Karangan salah seorang murid saya tersiar, gembira saya bukan kepalang tetapi anak murid itu pula tercenggang-cenggang. Apabila saya memberi pujian, dia hanya tersenyum-senyum (tidak tahu pula apa maksud senyumannya itu). Itulah kenangan yang tidak dapat saya lupakan, sekurang-kurangnya saya telah membuka satu dunia baru kepada murid-murid saya, walaupun saya sendiri baru belajar merangkak dalam dunia penulisan sehingga kini.

Kembali kepada En. Z, saya terkenang semasa mula-mula temuduga di Sabah. En.Z bertanya mengatakan biasanya penulis wanita akan berhenti menulis apabila berkahwin, saya dengan yakin menjawab “Saya akan terus menulis.” Mujurlah saya tidak berhenti menulis walaupun hanya ada sebuah cerpen dan beberapa puisi dihasilkan selepas berkahwin. Sekurang-kurangnya saya tidak dimakan sumpah saya sendiri. Apabila ditemuduga di ASWARA, saya menunjukkan karya terbaru saya dengan segan kepada En.Z. E.n. Z bertanya tidakkah saya segan dengan adik-adik sekuliah. ‘Tidak! Sebab saya nak belajar.” saya yakin kerana saya sudah mengalami keadaan itu di ASK dahulu dan sekarang saya mengulangi lagi sejarah itu cuma dengan label baharu sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak perempuan. Saya menanam nekad dan tekad mengasah semula ‘otak karat’ ini. Terima kasih En.Z kerana memberi peluang ‘otak karat’ saya.

5. Rasanya rasa kagum saya terhadap insan ini tidak lengkap sekiranya saya tidak menyebut tentang dirinya. Melihat dirinya saya lebih kagum dan teransang untuk terus bersaing dengan adik-adik yang lebih muda. En.Asmar atau saya lebih gemar memanggil abang Asmar sudah berusia 50 tahun tetapi dengan semagat waja, beliau menyambung pelajaran dalam bidang filem. Memang ‘tabik spring’ dengan abang Asmar, bertuahlah isteri dan anak-anaknya. Terharu dengan pengorbanan mereka, bagi saya abang Asmar satu ikon yang perlu dicontohi.

6. Saya cukup terkesan denga kata-kata seorang kakak yang saya temui ketika mencari seorang pelakon kanak-kanak di sebuah sekolah rendah di Shah Alam, untuk filem pendek saya pada tahun 2008. Kak Nita namanya, pertemuan kami singkat sahaja tapi sangat bererti. Kebetulan kak Nita sedang berurusan di pejabat guru. Tugasnya sebagai Pengerusi PIBG memang mengagumkan saya kerana Kak Nita seorang perempuan, selalunya pengerusi PIBG dipegang oleh lelaki. Kak Nita melayan kami dengan mesra, apabila saya mengenalkan diri sebagai pelajar Aswara dan mengenalkan pula suami. Kak Nita sangat gembira dan mengucapkan syabas, dia memberikan kata-kata peransang agar saya terus berusaha dan buktikan kejayaan bagi ‘mahasitua’ sentiasa ada, kerana kak Nita juga baru menghabiskan pengajian ijazahnya di Open Universiti. Kata-kata Kak Nita membuat saya lebih kagum kerana kak Nita melebihi 40 tahun dan mempunyai 5 orang anak. Menurutnya lagi, dari seramai 26 pelajar sekuliahnya hanya empat orang yang berjaya melengkapkan ijazah yang lain menangguhkan kerana pelbagai masalah dan bujang pula. Terima kasih kak Nita kerana meminjamkan pengalamannya, saya selalu berharap dapat bertemu dengannya lagi.

7.Seperti ada kekurangan jika tidak menyebut mengenai kakak seorang ini. Saya juga mahu meminjam semangatnya. Semasa di ASK dia sudah berusia dalam 30an kemudian terus menyambung pelajaran lagi. Apa yang mengagumkan semasa di ASK dia boleh bersaing dengan adik-adik yang masih segar otaknya malah sangat komited terhadap pelajaran. Kak Wan, sesungguhnya Kak Wan banyak memberi saya inspirasi.

8. Seingat saya pertemuan dengan insan ini pada tahun 2009. Ketika itu Dato’ Anwar Ridhwan meminta saya dengan seorang sahabat menjadi anak murid atau lebih tepat menjadi modellah konon untuk photo shoot sebuah akhabar Bahasa Inggeris. Ketika itu dia bertugas menemuramah Dato’, wajahnya manis walaupun hitam manis. Kami mengenalkan diri masing-masing dan sahabat saya mengatakan mengenai saya yang sudah tua masih belajar. Tetapi insan itu menjawab ‘Tak apa, belajar tidak pernah mengenal tua...tidak kenal umur’. Kata-kata itu sangat terkesan di hati saya dan menguatkan lagi azam saya membuktikan ‘otak karat’ boleh digilap menjadi berkilat-kilat dan memancar-mancar.

9. Pun masih ada kekurangan jika tidak menyebut nama ini. ‘Ana Balqis’ pemilik nama yang indah. Masih teringat ketika menemaninya ke pasar pagi JKR. Ana balqis juga lewat menyambung pelajaran dalam usia 30an, tetapi terbukti kejayaanya sekarang bertugas sebagai pensyarah di UM. Ana Balqis menyebut ‘ Awak bertuah, memiliki dua perkara sekaligus. Mempunyai suami dan anak-anak dan pelajaran. Ada orang tidak mempunyai kedua-dua perkara itu. Awak bertuah.’ Benarkah? Kata-katanya membuat saya berfikir berjuta-juta kali. Pelajaran + keluarga = Kebahagian dan kejayaan. Itulah sebenarnya formula yang mesti saya pegang. Terima kasih Ana Balqis. Sehingga kini saya masih menyemat ayat-ayat itu di hati jangan sampai tertanggal.

10. Dia bekas pensyarah saya di ASK, lemah lembut dan penuh berhikmah kata-katanya. Dia membahasakan dirinya bonda. Walaupun sudah bertahun-tahun tidak mengajar tetapi bonda Rugayah masih mengingati saya. Sejak pertemuan itu, bonda selalu memberi nasihat yang bernas dan mengajak saya ke sana-sana dengan tujuan mendedahkan saya kepada dunia penulisan, teater dan kritikan. Beliau selalu mengalakkan saya terus menulis dan menonton teater untuk menajamkan pemerhatian sebagai seorang penulis. Dengan dorongan bonda juga, saya berjaya menghasilkan sebuah artikel yang disiarkan di majalah Pentas Istana Budaya pada tahun 2008. Bagi saya, bonda seorang penulis dan seorang pengkritik yang jujur dalam tulisannya. Terima kasih bonda Rugayah. Pinjamkan aku semangatmu!

11. Kakak seorang ni pun senarai terpenting dalam kotak kenangan saya, lapan tahun lalu saya berjiran dengan seorang kakak yang berusia dalam lingkungan 40 tahun. Anak lima orang dah besar-besar semuanya, ketika itu saya mengandung anak pertama Beberapa kali juga kami berbual, dari perbualan itulah saya mendapat tahu dia menyambung semula pelajaran di peringkat master. Sebelum itu dia tidak bekerja kerana membesarkan anak-anak. Saya sangat kagum dengan semangatnya, dalam diam-diam menanam semangat mencontohinya, sempat juga dia memberi nasihat agar saya menyambung pelajaran apabila anak sudah agak besar. Beberapa bulan kemudian kakak itu berpindah rumah, satu hari satu terserempak dengannya di pasar malam. Dengan gembira dia mengatakan dia telah diterima menjadi pensyarah di sebuah kolej. Saya pula yang gembira melebih-lebih ketika itu dan tidak henti-henti mengucapkan tahniah.

Begitulah, perjalanan hidup orang lain yang selalu saya jadikan motivasi untuk terus maju dalam pelajaran dan membina keluarga yang bahagia. Terima kasih kepada insan-insan yang telah memberi makna dalam hidup ini.

‘Mencipta sesuatu yang bermakna bukanlah mudah tetapi sesuatu yang bermakna mudah dilupakan’

1 ulasan:

  1. Mudahan semangat dan keinginan bersatu dalam restu Ilahi. Saya tetap akan doakan kejayaan Rozi. InsyaAllah akan berjaya juga, jika ada kemahuan dan doa.

    BalasPadam