Rabu, Disember 23, 2009

Gigit jari perut besar?

Pertanyaan Farahani semalam masih berbisik di telinga sehingga hari ini. Fara yang bakal memasuki usia 6 tahun dengan gaya manjanya bertanya, "Umi kalau gigit jari nanti perut besarkah?". Aku memandang wajahnya sambil cuba mengumpul fakta-fakta sains mengenai bakteria, biar alasan yang bakal diberi munasabah dan memuaskan hatinya. "Kenapa? Siapa yang gigit jari? Siapa yang perut besar?". "Tadikan adik dengan kakak ikut mama (panggilan untuk pengasuh) ke taman. Ada kawan mama yang masih sekolah di taman, kakak tu gigit jari tapi perutnya besar. Kenapa perutnya besar Umi? Kalau gigit jari perut jadi besarkah?" Aku merenung wajahnya yang manis. "Macam mana Fara tahu masih sekolah?". Aku mula menyoal. "Kakak tu dulu pakai baju sekolah macam kak Wa (anak saudara yang bersekolah menengah)". Menyirap darahku. Apakah yang dapat kita fikir sekiranya seorang anak remaja di peringkat sekolah menengah mengigit jari dan perutnya besar?" Secara jujur pastilah sesuatu yang negetif yang melompat ke kotak fikiranku. "Kenapa Umi kakak tu perutnya besar?". Hanya jawapan ini yang mampu saya berikan "Err..jari kita ni penuh kuman, kalau makan tak cuci tangan lepas tu suka gigit jari. Kuman masuk dalam perut, nanti tu perut jadi besarlah." Fara membesarkan matanya dan terbayang kengerian. "Ohh...adik selalu basuh tangan, tak mahu gigit jari. Takut perut adik besar."

'Oh Tuhan. mudah-mudahlah anak remaja itu perut besar kerana penyakit bukan kerana sangkaan negetifku.' Ngeri rasanya mengenangkan pertanyaan Fara.

Selasa, November 17, 2009

16 November 2009 - Terima Kasih Allah S.W.T

13 November 2009 (Jumaat) Puan Azura dari FINAS menghubungi mengatakan saya disenarai pendek sebagai pemenang tetapi keputusan masih dirahsiakan. Ditemani suami, Wardah dan Amar yang begitu setia memberikan sokongan berdebar-debar menunggu keputusan. Alhamdulilah Allah S.W.T telah memberikan rezeki berganda. Saya diberi kesempatan Allah S.W.T untuk merasai rezeki dan kenikmatan sebagai pemenang tempat ke-2 menulis skrip dokumentari dan saguhati menulis skrip filem pendek. Saya sendiri umpama mimpi dalam mimpi, skrip dokumentari 'Kasih Madai' dan filem pendek 'Menunggu Manisah' membawa makna pukul tiga petang 16 November ini.

Bergambar kenangan bersama Suami, Wardah dan Amar

Jutaan terima kasih kepada:
Suami yang sabar melayani karenahku....'Siapalah aku tanpamu'
Ayah dan Bonda di Sabah- Terima kasih tidak pernah jemu mendoakan kejayaan anakanda
Permataku, Ika dan Fara yang memberi sumber inspirasi
Ayahanda Ramli yang sentiasa menyokong
Kak Jah, Abg Har, Abang Li, Lina dan Hana - Kalian sentiasa di hatiku...

Wardah yang yang yang...hanya Wardah yang tahu...
Amar yang sentiasa memberi idea dan sokongan
adik-adik Junior ASWARA Fakulti Penulisan

Jutaan terima kasih:

SN Dato' Anwar Ridhwan
En. Zakaria Ariffin - Terima kasih kerana membuka fikriahku mencintai dokumentari 8 tahun lalu.
En. Azman
Pensyarah dan Penyelaras Fakulti Penulisan ASWARA

Terima kasih, kalian memberikan saya kekuatan untuk berkarya.

Jasamu dikenang En. Zaki kerana sudi menumpangkan saya dalam kuliah dokumentari selama dua semester, walaupun banyak kali ponteng. Terima kasih atas tunjuk ajar dan dorongan. Sesungguhnya tanpa ilmu ikhlas En. Zaki tiadalah kejayaan ini.

Terima kasih segalanya ... semoga perjalanan ini terus diredai Allah S.W.T

Isnin, November 09, 2009

Siti Kabira - Tersentuh hati


Tiba-tiba saya jatuh hati dengan nama Siti Kabira di saat mencari-cari ilham untuk novel dewasa. Siti Kabira bermaksud wanita besar atau wanita agung. Di dalam salasilah kesultanan Sulu, diriwayatkan kewujudan sultanah bernama 'Siti Kabira' yang memerintah Maguidanao dari tahun 1681 sehingga 1685. Sultanah Siti Kabira juga dikenali sebagai Siti Kabil atau Sitecabil, sebagai pemerintah wanita Siti Kabira menitikberatkan agama Islam dan mempunyai keperibadian yang tinggi.
Walaupun terlalu sedikit maklumat mengenai wanita agung ini namun saya menciptakan satu watak baharu Siti Kabira. Siti Kabira yang hidup di zaman ini dengan membawa semangat Siti Kabira Sultanah Sulu.

Novel-----> Berkarya---> Mencari masalah ----> Merumitkan Masalah ----> mencari penyelesaian -----> Mencari Alternatif -----> mendapat formula-----> Adanya kesimpulan.

'Siti Kabira' menunggu wajahnya disolek, tubuhnya dibalut baju, tudungnya disematkan dan jiwanya diperindahkan....


Impian terlaksana

Impian terlaksana sekian lama setelah acapkali terbabas memaksa jari menari atas punat peti huruf ajaib ini. Kalau bukan jari bertuah wardah, tidak 'bersolek'lah bog saya ini, terima kasih Wardah....bantuan Wardah ibarat bantuan misi kemanusian membantu orang yang 'kepincangan' jari dan 'kependekan' akal untuk menerokai isi perut alam maya.

SESUDAH AIDILFITRI

Sesudah aidilfitri
Rubric kemeriahan itu ditutup
Setelah 7 hari 7 malam
Disentuh kehebatan kegirangan

Sesudah aildilfitri
Di sana sini masih ada gelak ketawa
Sambil makan-makan
Sambil minum-minum
Bicara soal keakuan
Kehebatan
Kekayaan
Kemajuaan
Merangsang keinginan

Sesudah aidilfitri
Di sana sini ada kesibukan
Percaturan di papan undian
Tangisan digegar jeritan alam
Tangan dihulur ditolak sewenang
Satu rumpun dinafi perkongsian
Kerana ego dan keakuan
Silaturahim tercantas mudah

Sesudah aidilfitri
Semua melangkah pulang
Membawa lelah dan keharuaan
Tinggallah kenangan
Bilakah berulang
Selagi masa masih berjalan
Bertemukah lagi di tahun depan